DARI MEJA PRESIDEN | KESATUAN KAKITANGAN AM UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (KEPERTAMA)
» ABOUT US » DARI MEJA PRESIDEN

DARI MEJA PRESIDEN

Bismillahirrohmanirrohim.

 

Assalamu’alaikum Warohmatullohi Wabarokaatuh, salam sejahtera dan salam perjuangan!

 

Pertamanya dan selamanya saya panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran saya ke hadrat Allahu Subhanahu Wa Ta’ala, kerana dengan izin-Nya jua, Mesyuarat Agung Tri-Tahunan Kesatuan Kakitangan Am UPM (KEPERTAMA) kali ke-35 pada tanggal 24 November 2021 yang lalu telah pun selesai melabuhkan tirainya. Walaupun mesyuarat agung ini diadakan secara “hybrid” dek kerana penangan pandemik Covid-19, keceriaan wajah para ahli KEPERTAMA yang terpapar di layar amat jelas kelihatan. Saya juga amat gembira dan berbesar hati, tambahan pula dengan kesudian Pendaftar UPM, Tuan Muhazam bin Mansor untuk menyampaikan ucapan. Walaupun YAB Dato’ Menteri Besar Selangor yang sepatutnya menyempurnakan majlis perasmian mesyuarat tidak dapat hadir pada saat-saat akhir, kehadiran Pegawai Tugas-Tugas Khasnya iaitu Tuan Mohd. Nazri bin Noh yang mewakili YAB Dato’ Menteri Besar Selangor sudah cukup memberi makna yang besar buat seluruh ahli KEPERTAMA. Bukan sahaja memberi makna yang besar, malah YAB Dato’ Menteri Besar Selangor turut memberi sumbangan sebanyak RM20,000.00 kepada KEPERTAMA. Semoga Negeri Selangor Darul Ehsan akan terus sukses dan sejahtera di bawah teraju kepimpinan Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari.

Secara jujurnya, saf kepimpinan KEPERTAMA bagi sesi 2021-2024 dan para ahli KEPERTAMA punyai cabaran yang begitu besar khususnya dalam konteks membantu dan merealisasikan 11 aspirasi Naib Canselor yang terkandung dalam Naratif Naib Canselor 2022. Saya meneliti dengan begitu cermat setiap aspirasi yang digariskan dan saya dapati sebahagian dari aspirasi tersebut peranannya terletak di bahu Pegawai Pelaksana khususnya para ahli KEPERTAMA. Makanya ayuhlah sahabat-sahabat saya Pegawai Pelaksana sekalian, inilah ruang dan peluang untuk kita buktikan yang kita semua sentiasa sederap melangkah bersama pihak Pengurusan Universiti dalam menyahut seruan Al-Falah. Kejayaan pada hari ini iaitu berada pada kedudukan 123 universiti terbaik di dunia dan kedudukan kedua terbaik dalam negara selama empat tahun berturut-turut, merupakan anugerah awal yang seharusnya menjadi suntikan inspirasi untuk kita mendakap kejayaan yang lebih gemilang lagi. Harus diingat menjelang tahun 2025, UPM telah mensasarkan untuk berada dalam kelompok 100 universiti terbaik di dunia. Sasaran ini bukanlah berbentuk populis atau angan-angan Mat Jenin semata-mata. Ia merupakan sasaran yang realistik dan kita sebenarnya sudah pun semakin hampir. Mudah-mudahan Allahu Subhanahu Wa Ta’ala mengizinkan untuk kita menikmati kegemilangan yang diidamkan ini. Aamiin.

 

Akhir kalam dari saya dengan penuh rasa insaf dan tanggungjawab, pertamanya saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli KEPERTAMA yang telah memberi mandat kepada saya pada Mesyuarat Agung Tri-Tahunan KEPERTAMA yang lalu untuk menerajui KEPERTAMA bagi sesi 2021-2024. Saya berazam untuk berusaha sedaya upaya dalam memikul amanah besar ini dan saya sentiasa berlapang dada untuk menerima apa sahaja teguran dan kritikan yang membina demi manfaat seluruh ahli KEPERTAMA. Saya amat mengalu-alukan sebarang idea untuk penambahbaikan hala tuju perjuangan dan urus tadbir KEPERTAMA kerana KEPERTAMA ini bukanlah hak milik individu. Ianya adalah milik kita bersama.

 

Seterusnya saya juga ingin mendedikasikan ucapan ribuan terima kasih saya kepada pihak Pengurusan Universiti di bawah teraju kepimpinan Naib Canselor UPM, Yang Hormat Profesor Dato’ Dr. Mohd. Roslan Sulaiman. Tekad saya sepanjang menerajui KEPERTAMA, kami semua akan sentiasa komited dan berdiri teguh bersama pihak Pengurusan Universiti dalam mengangkat nama dan martabat universiti ke aras yang tertinggi InsyaAllah.

 

Mohon doa dari semua agar saya, KEPERTAMA dan UPM akan terus ditakdirkan dengan kejayaan-kejayaan yang gemilang!

 

Salam hormat dari saya.

 

 

MENYATU MEMPERKUKUH MEMPERJUANG

WAWASAN KEMAKMURAN BERSAMA 2030

BERILMU BERBAKTI

 

 

Saya yang menjalankan amanah,

 

 

NORSYAHRIMAN BIN MD. ARIF

Presiden

Kesatuan Kakitangan Am UPM (KEPERTAMA)

 

Updated:: 25/07/2022 [norhanim]

MEDIA SHARING

SXFFQAB~